TEMERLOH – Restoran ikan patin tempoyak di sini terus mendapat sambutan di sebalik polemik kononnya masakan spesies itu lebih mahal berbanding di Lembah Klang.
Tinjauan mendapati deretan kedai makan popular di sekitar bandar Temerloh masih sesak dengan pelanggan sekali gus membuktikan keenakan patin tempoyak Temerloh tidak dapat ditandingi.
Antara kedai makan yang sering menjadi tumpuan termasuk Go Bang Maju Patin Tempoyak, Patin Abang Zul, Restoran Tok Gajah, Gerai Pak Usop, Claypot Patin Tempoyak, Patin Royale, Selera Patin Bangau dan Kancil Raja Patin.
Peniaga, Mohd. Zulkifli Mat Hasan berkata, walaupun dia menjual antara RM18 hingga RM25 seketul, pelanggan tidak berkira kerana tahu beza antara ikan sangkar asli Sungai Pahang dan kolam.
“Ia dimasak dengan resipi tradisi. Bekalan memang selalu tidak cukup kerana isinya padat, lemak manis dan tidak hanyir.
“Kesal kerana ada peniaga guna nama patin Temerloh untuk ikan kolam dan ia umpama menipu pelanggan,” katanya.
Abdul Rahman Ibrahim, 72, pula berkata, harga patin masak tempoyak adalah munasabah dan mengikut kos penternakan.
“Rasa sebenar patih tempoyak Temerloh tidak boleh ditiru. Harga murah hanya polemik dan bukannya murah kalau mahu bela,” katanya.
Aizun Zainuddin, 48, pula berkata, permintaan ikan patin kini stabil dengan tempahan masuk setiap hari termasuk daripada Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan dan Pantai Timur.
Beliau berkata industri penternakan dan masakan ikan patin di Temerloh berada di landasan betul dan tidak terjejas akibat pelbagai polemik.














