SHAH ALAM – Sebanyak 23 kes berkaitan ajaran sesat telah diambil tindakan penguatkuasaan di Selangor.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, antara ajaran sesat yang diambil tindakan ialah Syiah, Millah Abraham, Hizbut Tahrir, Rasul Melayu dan Tuhan Harun.
“Daripada jumlah itu, 12 kes telahpun disabit kesalahan, manakala 11 kes lagi di peringkat perbicaraan di Mahkamah Syariah,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chua Wei Kiat (PH-Rawang) mengenai ajaran sesat di Selangor.
Menurut Mohamad Fahmi, kerajaan negeri mengawal penyebarannya dengan mengambil pendekatan intervensi melalui penjelasan, pendidikan, pemantauan dan penguatkuasaan terhadap ajaran sesat yang dikenal pasti tersebar di negeri ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu, makluma juga disebarkan melalui penerbitan bahan-bahan bercetak dan media elektronik untuk disampaikan kepada masyarakat.
“Medium khutbah pada hari Jumaat turut digunakan bagi menyampaikan maklumat yang perlu disamping memberi kesedaran sekiranya terjebak dengan ajaran sesat yang ada.
“Kerajaan negeri turut menguatkuasakan undang-undang dengan kerjasama pelbagai agensi berkepentingan di samping melaksanakan proses pemulihan dan bimbingan buat mereka yang terlibat,” katanya. -KOSMO!ONLINE