KUALA TERENGGANU – Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memperkosa anak tirinya bulan lalu.
Tertuduh yang berusia 39 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Wan Nor Aklima Wan Salleh.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa merogol mangsa yang berusia 15 tahun 8 bulan pada pukul 3.30 petang, 16 Jun lalu.
Tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan sama ke atas mangsa pada pukul 5.30 petang, 18 Jun lalu. Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Marang.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM36,000. Dia turut dikenakan syarat tambahan melapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai.- KOSMO! ONLINE