KUALA LUMPUR – ASEAN mengalu-alukan kesediaan negara-negara pemilik senjata nuklear (NWS) untuk berunding bagi menandatangani dan meratifikasi Protokol Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dalam masa sama ASEAN mesti bekerjasama untuk mewujudkan syarat-syarat yang perlu bagi NWS mengambil langkah penting tersebut, termasuk menyelesaikan isu-isu belum selesai sejajar dengan prinsip dan objektif perjanjian.
“Kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa perjanjian ini bukan sekadar dokumen undang-undang, tetapi satu komitmen hidup dan dinamik menyumbang kepada usaha perlucutan senjata di peringkat serantau dan global.
“Memandangkan ancamannya terhadap manusia, saya menyeru semua negara anggota ASEAN supaya kekal bersatu dalam usaha mewujudkan Asia Tenggara bebas daripada senjata nuklear,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan pembukaan Mesyuarat Suruhanjaya SEANWFZ sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Mohamad berkata, ASEAN boleh berbangga bahawa rantau ini kekal bebas daripada senjata nuklear dan senjata pemusnah besar yang lain.
“Walaupun protokol kepada Perjanjian SEANWFZ masih belum ditandatangani, ASEAN telah mencapai kemajuan besar dalam memajukan penggunaan teknologi nuklear yang aman, terutama melalui kerjasama berterusan dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam bidang pertanian, diagnostik perubatan, teknologi makanan dan lain-lain.
“Ini sekali gus menegaskan komitmen ASEAN terhadap aplikasi sains nuklear yang aman selaras dengan objektif SEANWFZ dan Perjanjian Non-Proliferasi,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, di sebalik pencapaian tersebut, amat membimbangkan bahawa Asia Tenggara kekal sebagai satu-satunya zon bebas senjata nuklear yang masih belum diiktiraf secara rasmi oleh NWS.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, tahun ini menandakan ulang tahun ke-30 Perjanjian SEANWFZ yang mana ia asas kepada keselamatan serantau ASEAN.
Katanya, Perjanjian SEANWFZ juga instrumen utama dalam peranan rantau ini terhadap usaha perlucutan senjata global dalam landskap keselamatan yang semakin kompleks.
“Penyertaan Timor-Leste ke dalam Perjanjian SEANWFZ menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan mengembangkan lagi skop geografi perjanjian ini, serta melengkapkan seni bina keselamatan serantau yang lebih luas dalam membentuk norma dan jangkaan strategik di rantau kita,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE