SERING didengari bahtera rumah tangga musnah disebabkan angkara curang dan tiada lagi persefahaman bersama.
Pun begitu, ada juga pasangan bercerai disebabkan nafsu seks melampau, pasangan yang sepatutnya bernoktah dengan kepuasan bersama tetapi sebaliknya.
Itu kisah yang dilalui Mieyah (bukan nama sebenar) beberapa tahun lalu selepas rumah tangga dibina hancur berkecai disebabkan nafsu serakah suaminya.
Membuka cerita yang tidak pernah dikongsikan kepada sesiapa mahupun di media sosial, anak kelahiran Bukit Batu, Kulai, Johor itu kini terbuka berkongsi.
“Saya cuma berjodoh dengan suami tidak sampai tiga tahun. Saya sendiri tidak pasti sempat kecap kebahagiaan ataupun tidak.
“Dia (suami) seorang yang sangat baik dan mengambil berat. Cuma sejak dia bertukar kerja baharu, dia selalu mengadu terlalu tertekan dengan kerjaya sekarang,” katanya.
Jelas Mieyah, suaminya sebelum ini memang bekerja dalam bidang pemasaran dan jualan, namun berpindah ke syarikat baharu atas tawaran lebih menarik.
Tawaran lebih baik itu merangkumi gaji pokok lebih tinggi, komisen juga lebih banyak dan manfaat serta kelebihan lain yang tidak ada di tempat lama.
“Setiap kali pulang ke rumah, suami pasti akan mengadu dia tertekan di tempat kerja kerana perlu mengejar ‘target’ jualan yang ditetapkan syarikat.
“Tiap kali balik kerja juga, dia pasti akan membebel seorang diri dan sedikit sebanyak melampiaskan kepada saya sebagai orang terdekat.
“Enam bulan pertama dia kerja di tempat baharu, dalam tempoh itu jugalah dia tidak gembira dan seakan-akan terpaksa.
“Dia hendak berhenti tidak boleh kerana kontrak telah ditandatangani selama dua tahun. Lagipun bab gaji dan komisen memang tiada masalah dan itu juga buatkan suami ‘liat’ untuk berhenti begitu sahaja,” katanya.
Akui Mieyah, sepanjang tekanan melanda suami, nafsu seks lelaki itu juga berubah ganas dan itu sedikit sebanyak mengganggu dirinya sebagai isteri.
Beritahu ibu dua cahaya mata itu, tekanan emosi yang melanda suami merubah nafsu seks suaminya menjadi semakin buas dan semua keinginannya untuk bersama perlu dituruti.
“Kalau sebelum ini, saya akan bersama dengan suami dua atau tiga kali seminggu.
“Tetapi selepas dia tukar kerja baharu, boleh dikatakan setiap hari saya perlu melayan nafsunya.
“Boleh dikatakan tiap kali dia balik kerja, perkara pertama dia minta adalah seks. Pada mulanya saya cuba ikutkan dan penuhi permintaannya.
“Tetapi lama-kelamaan saya sendiri jadi ikut tertekan. Buat saya tambah tertekan apabila dalam sehari suami mahu dua kali bersama.
“Jadi boleh bayangkan sendiri dalam seminggu, 14 kali saya perlu melayan ketagihan suami untuk bersama. Kalau didarabkan sebulan sudah berapa kali.
“Saya sendiri jadi tak larat sebab perlu bekerja di siang hari dan uruskan anak-anak serta keperluan lain,” ujarnya.
Akui Mieyah, masuk bulan ketujuh, dia sudah tidak tahan dengan sikap suaminya yang sebegitu dan mengajak untuk berubat atau pergi berjumpa doktor.
Pun begitu, ia hanya sia-sia kerana suami enggan pergi dan suami menegaskan bahawa hanya dengan bersama isterinya dua kali sehari boleh mengurangkan tekanannya dan bertahan di tempat kerja.
Puas berbincang dan mencari alternatif, namun ia langsung tidak diendahkan suami selain hanya mementingkan diri dan kepuasan sendiri. Oleh itu, Mieyah meminta untuk dilepaskan secara baik.
Sekali lagi, suaminya enggan melepaskannya dan hanya dengan satu cara iaitu memfailkan cerai di mahkamah dapat membuatkan ‘seksaan’ Mieyah berakhir.
Selepas beberapa bulan turun naik mahkamah, Mieyah akhirnya berpisah dengan suami secara sah mengikut lunas undang-undang dan agama.














