fbpx

Remaja tunggang motosikal lawan arus serah diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang tular di media sosial memaparkan seorang penunggang motosikal menunggang motosikal secara melawan arus sambil menggunakan telefon bimbit di KM 38 Lebuh Raya Utara-Selatan arah berhampiran Tol Hutan Kampung di Alor Setar baru-baru ini.

ALOR SETAR – Polis menahan seorang remaja perempuan dipercayai menunggang motosikal secara melawan arus di Kilometer 38, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Plaza Tol Hutan Kampung, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, tindakan remaja itu dikesan selepas satu video berdurasi 23 saat tular di media sosial pada 4 Julai lalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati remaja itu memberi alasan tersalah laluan selepas menggunakan aplikasi pandu arah di telefon bimbit sewaktu dalam perjalanan pulang ke Pendang.

“Remaja itu tampil serah diri di Balai Polis Trafik Daerah Kota Setar pada pukul 9 malam tadi. Polis merampas motosikal yang digunakan ketika kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini untuk permohonan reman hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak lebih RM15,000,” katanya.

Siti Nor Salawati menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak memandang ringan aspek keselamatan di jalan raya.

“Tindakan menunggang secara melawan arus bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah pengguna jalan raya lain. Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI