KUALA LUMPUR – Digital Tech Sdn. Bhd. (Mova Digital) mengunjurkan pengguna aplikasi, Mova yang baru diperkenalkan di Malaysia sejak pertengahan bulan lalu bakal mencecah kepada tiga juta orang menjelang akhir tahun ini.
Pengarah Pembangunan Perniagaannya, Moon Ng berkata, sejak aplikasi tersebut dipromosikan kepada umum melalui pelbagai medium komunikasi termasuk media sosial serta pelancaran awalnya di sebuah pusat beli-belah utama, terdapat trend pertambahan yang mengalakkan daripada pelanggan khususnya yang suka membeli-belah secara online khususnya di Shopee dan juga TikTok.
Menurut beliau, jika sebelum ini pelanggan hanya memilih barangan di Shopee dan membayar menggunakan baucar untuk berjimat tetapi kini melalui Mova, pelanggan boleh menjana ganjaran wang tunai di dalam aplikasi tersebut sekali gus boleh dipindah masuk ke dalam akaun bank masing-masing.
Bagaimanapun, ganjaran wang tunai tersebut akan hanya dipindah masuk sebaik pelanggan menerima barangan yang ditempah secara online dari Shopee dan TikTok kerana transaksi pembelian tersebut telah disahkan dengan penerimaan barangan.
“Sehingga kini, lebih 20,000 pengguna aktif Malaysia telah memuat turun dan berdaftar dengan aplikasi Mova dengan transaksi sebanyak RM60,000 sehari, manakala RM6.1 juta sehari di Indonesia.
“Oleh itu, kami kini menyasarkan untuk memperoleh sehingga 10 juta pelanggan di Malaysia dan juga Indonesia,” katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Mova Digital, Calvin Leong
Idea inovatif aplikasi dari China itu telah dilancarkan di Indonesia sejak Februari lalu dan dalam masa empat bulan lalu, ia berjaya memiliki lebih 500,000 pengguna. -KOSMO! ONLINE