fbpx

Isu Palestin jadi tumpuan utama di AMM-58

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Perkembangan terbaharu rundingan damai antara Israel dan Hamas dijangka menjadi fokus utama dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM-58) yang bakal berlangsung di ibu negara mulai 8 hingga 11 Julai ini.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Nazariah Osman, rundingan gencatan senjata selama 60 hari yang kini mendapat sokongan Amerika Syarikat, sekiranya berjaya, mampu menjadi titik tolak kepada penyelesaian krisis kemanusiaan di Gaza dan Tebing Barat.

“ASEAN tidak boleh melepaskan peluang ini untuk menyatakan sokongan terhadap usaha perdamaian yang tulen dan berkekalan, terutamanya ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nazariah.

Beliau berkata, peranan Malaysia dalam memimpin suara serantau amat penting dalam menyatukan pendirian ASEAN terhadap isu Palestin yang telah lama berlarutan.

Nazariah turut mengalu-alukan penegasan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, bahawa isu Palestin akan menjadi antara agenda penting AMM-58, selain turut diketengahkan dalam Mesyuarat Peringkat Menteri Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Keempat (CEAPAD IV).

“CEAPAD IV yang dipengerusikan bersama Malaysia, Jepun dan Palestin dijangka memberi tumpuan kepada pembangunan semula infrastruktur kritikal, bantuan kemanusiaan serta pembangunan kapasiti rakyat Palestin,” katanya.

Jelasnya, ASEAN secara konsisten menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin, termasuk menerusi kenyataan bersama Menteri-Menteri Luar ASEAN pada 12 Februari lalu yang menegaskan hak Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendirian Malaysia juga tegas dalam menyokong penyelesaian dua negara mengikut sempadan 1967, sebagaimana yang disuarakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam pelbagai forum termasuk di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan PBB.

“Malaysia akan terus mengetuai seruan supaya masyarakat antarabangsa tidak bersikap selektif dalam menangani konflik kemanusiaan. Isu Palestin adalah cerminan komitmen dunia terhadap prinsip keadilan dan kemanusiaan sejagat,” ujarnya.

Nazariah menambah, AMM-58 menjadi medan terbaik untuk ASEAN bangkit sebagai blok serantau yang bukan sahaja strategik dari sudut ekonomi dan geopolitik, tetapi juga bermaruah dari segi prinsip moral dan kemanusiaan.

“Pendirian ASEAN terhadap isu Palestin akan menjadi kayu ukur kepada komitmen rantau ini terhadap keadilan dan hak hidup aman bagi setiap bangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI