KURNIAAN Pingat Jasa Baik (PJB) oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sempena ulang tahun keputeraan ke-82 yang diterima pelakon Rita Rudaini Mokhtar baru-baru ini rupa-rupanya tidak disenangi semua orang, khususnya segelintir netizen dalam laman sosial.
Ketika ramai melayangkan ucapan tahniah buat ibu tunggal anak dua itu, masih ada yang mempertikaikan sumbangannya terhadap masyarakat di negeri kelahirannya.
Bagi Diva, pihak istana sendiri yang memilih Rita termasuk seorang lagi pelakon, Fasha Sandha untuk menerima pingat, sudah tentu kedua-dua mereka layak.
Di pihak Rita sendiri, pasti banyak sumbangannya bukan sahaja dalam dunia lakonan bahkan kerja kebajikan yang dijalankan sepanjang hampir tiga dekad dalam industri seni tanah air.
Siapa tahu berapa banyak Rita yang bergelar ibu tunggal telah memberi aspirasi kepada ramai kaum Hawa menggunakan media sosial.
Siapa kita untuk mempertikaikannya kerana sudah pasti pihak pemilih menggariskan beberapa syarat sebelum menganugerahkan pingat.
Marilah kita sama-sama meraikan mereka kerana Rita pun sudah maklum ingin terus bekerjasama dengan kerajaan negeri serta pihak lain untuk lebih aktif dalam kerja kebajikan dan kemasyarakatan.
Netizen pun, janganlah negatif sangat. Pergilah cakap benda lain.
DIVA: Pelik memikirkan perangai suka berbalah dan menyimpan dendam lama macam kes seorang komposer dengan sebuah kumpulan rap. Kalau berpakat tak boleh ke?