JAKARTA – Penduduk di Pati, wilayah Jawa Tengah terkejut apabila menemui sejumlah wang yang dihanyutkan arus sungai ke parit berhampiran rumah mereka, lapor portal berita Lambe Turah semalam.
Rakaman video dimuat naik di laman Facebook menunjukkan orang ramai termasuk kanak-kanak berkumpul di dalam dan sekitar parit untuk mengutip wang.
Ada antara mereka sedang mengeringkan wang kertas bernominasi 5,000 rupiah (RM1.30), 10,000 rupiah (RM2.60) dan 20,000 rupiah (RM5) di pekarangan rumah.
Lebih aneh, kesemua wang tersebut dibungkus di dalam plastik jernih.
Rakaman itu mencatatkan lebih 14,300 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Jangan sampai pemerintah nampak, nanti kena kebas,” kata seorang netizen.
“Hati-hati, takut ada sesuatu yang kita tak nampak,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI