KUCHING – Lelaki yang hilang selepas dipercayai terjatuh dari bot ketika memancing di Batu Susur, Pulau Lakei di sini dijumpai meninggal dunia.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mayat mangsa berusia 55 tahun itu dijumpai oleh pasukan maritim, sebentar tadi.
“Mayat mangsa telah dibawa ke jeti maritim dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, mangsa dilaporkan bersama-sama dua rakannya pergi ke Pulau Lakei untuk memancing kira-kira pukul 4 petang kelmarin.
Pada jam 11 malam semalam, mereka bertiga telah tidur dan semasa sedar daripada tidur kira-kira pukul 3.40 pagi hari ini, rakannya menyedari mangsa tiada di dalam bot. – KOSMO! ONLINE