BELAWAI – “Kami nampak dari seberang sungai, ada bot karam…orang terkapai-kapai sambil meminta tolong lalu kami terus ambil perahu, capai siapa yang sempat.”
Demikian cerita seorang nelayan, Madihi Basah, 63, yang bersama-sama anak saudaranya menjadi penyelamat ke atas tujuh mangsa dalam tragedi bot karam di Pantai Belawai, petang semalam.
Menurut Madihi, kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang, ketika dia bersama-sama anak saudaranya sedang berehat di sebuah pondok berhampiran pantai berkenaan.
“Tiba-tiba kami nampak ada bot karam, semua orang terapung dan terkapai-kapai sambil minta tolong.
“Saya dan anak saudara terus naik perahu, capai siapa yang sempat,” katanya.
Menceritakan lanjut, beliau berkata suasana ketika itu sangat mencemaskan namun mereka nekad menyelamatkan mangsa satu demi satu menggunakan perahu kecil miliknya.
“Perempuan, budak, lelaki… semua kami tarik masuk dalam perahu.
“Ada dua orang tidak sempat kami bantu, masa itu cuma fikir nak selamatkan nyawa sahaja,” katanya.
Katanya, mereka mengambil masa beberapa pusingan membawa mangsa ke tebing secara berperingkat, namun hanya tujuh daripada sembilan yang berjaya dinaikkan itu masih bernyawa.
Dalam tragedi itu, empat mangsa disahkan meninggal dunia, enam hilang dan tujuh selamat, dengan kesemua mangsa adalah warganegara Indonesia. – KOSMO! ONLINE