WALAUPUN gadis Pesona Ahad minggu ini merupakan cucu kepada pengarah terkenal, namun Nur Diyanah Mohd. Faizal, 23, tidak berminat untuk menjadikan lakonan sebagai kerjaya pilihan biarpun mempunyai peluang yang cukup besar.
Sebaliknya, graduan Management and Science University (MSU) itu cenderung untuk mendalami dunia perniagaan yang dilihat lebih sesuai dengan dirinya, meskipun mempunyai raut wajah yang menawan.
Kepada Kosmo Ahad!, Nur Diyanah atau lebih mesra dipanggil Diyanah berkongsi mengenai dirinya yang mahu menceburi bidang korporat bagi mengumpul kewangan membuka kafe.
KOSMO! AHAD: Boleh kongsi mengenai diri anda?
Diyanah: Saya anak sulung daripada tiga beradik. Bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati, Selangor dan mendapat keputusan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2019.
Sebelum ini, saya minat berenang, namun sejak kebelakangan ini, tidak sempat (berenang) kerana sibuk dengan pelbagai komitmen lain.
Ada peluang besar bergelar pelakon. Mengapa tidak?
Keluarga ada memberi galakan untuk saya ke arah itu. Tetapi saya melihat diri ini tidak sesuai untuk menceburi bidang itu. Saya malu di depan kamera selain lakonan tidak begitu berjiwa.
Saya pernah menjadi pelakon kanak-kanak tambahan dalam filem Aku Bukan Tomboy dan beberapa episod dalam drama bersiri Gerak Khas. Memang nampak saya tidak sesuai dalam bidang lakonan.

Menyesal tidak pilih bidang lakonan?
Langsung tidak kerana lebih berminat kepada dunia perniagaan. Keluarga juga tidak marah, mereka sokong apa sahaja bidang yang diminati.
Hal itu dibuktikan dengan mendapat keputusan cemerlang pada setiap semester semasa belajar selama lebih tiga tahun di peringkat ijazah sarjana muda.
Pengalaman paling manis sepanjang hidup?
Dapat mewakili MSU dalam program pertukaran pelajar ke ke Daejeon, Korea Selatan selama tujuh bulan pada 2020. Itu kali pertama ke luar negara. Lebih manis lagi apabila menemui teman lelaki rakyat Korea Selatan yang kini tinggal di Amerika Syarikat (AS).
Mengenali lelaki itu ketika tersempak dengannya di salah sebuah restoran semasa makan dengan kawan-kawan lain.
Cabaran dalam hubungan cinta?
Perhubungan jarak jauh kerana jarak masa, apabila dia menghubungi saya, di sana (AS) pagi sedangkan Malaysia sudah malam. (Perbezaan masa 12 jam). Tapi kami boleh menyesuaikan diri kerana bukan setiap hari kami berhubung.
Malah, dia hampir setiap tahun datang ke negara ini berjumpa saya dan keluarga. Jadi, saya nampak usaha dia untuk mengekalkan hubungan kami.
Perancangan Diyanah?
Tamat belajar, saya mahu kerja dalam dunia korporat bagi mengumpul wang secukupnya untuk membuka kafe sendiri. Di samping itu, saya merancang untuk melawat beberapa buah negara lagi yang saya idamkan. Setakat ini, saya sudah mengembara antaranya ke United Kingdom (UK), Arab Saudi, Indonesia dan Thailand.














