ATLANTA, GEORGIA – Sebuah bot laju meletup ketika dalam perjalanan ke sebuah resort di negeri Georgia semasa orang ramai bercuti bagi meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat, lapor akhbar New York Post semalam.
Video dramatik menunjukkan bot itu dijilat api setinggi 1.5 meter, dengan kepulan asap hitam tebal menjulang naik ke udara, hanya beberapa meter dari darat.
Bot sepanjang 7 meter itu sedang menghampiri resort Margaritaville di Kepulauan Tasik Lanier apabila ia meletup sekitar pukul 7 malam (waktu tempatan).
Muzik kuat boleh didengari pada latar belakang video ketika pengunjung lain meraikan percutian di resort sambil menyaksikan insiden tersebut.
Lima mangsa dibawa ke hospital kerana melecur tahap kedua dan ketiga termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun, manakala dua lagi hanya cedera ringan. – AGENSI