KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pesara untuk meraih keuntungan berganda tidak kesampaian malah kerugian RM90,541 apabila diperdaya skim pelaburan tidak wujud.
Bekas pensyarah sebuah universiti awam di Kuala Nerus itu yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu di sini pada pukul 2.24 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, lelaki berusia 59 tahun tersebut menerima mesej daripada salah seorang kenalan Facebooknya yang menawarkan skim pelaburan berkenaan.
“Mangsa yang berminat telah menyertai pelaburan itu. Dia semakin seronok apabila menerima pulangan RM 2,767 menerusi tiga kali transaksi awal dilakukan.
“Pesara tersebut kemudiannya menambah lagi pelaburan sehingga RM90,541,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, lelaki itu mula curiga apabila menerima mesej pelik daripada individu tidak dikenali kononnya wakil syarikat pengawasan siber pada Rabu lalu mendakwa berlaku ralat pada transaksi terakhir pelaburan dilakukan mangsa kerana tidak memasukkan nombor rujukan.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya diarahkan untuk membayar denda RM31,400 berikutan kesalahan tersebut,” katanya.
Azli berkata, lelaki itu tambah curiga apabila suspek mendakwa akan memulangkan wang pelaburan RM 433,000 sekiranya melunaskan denda terbabit. – KOSMO! ONLINE