PETALING JAYA – Skuad bola sepak wanita negara terus menghidupkan harapan untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2026 apabila meraih kemenangan kedua Kumpulan H pusingan kelayakan dengan menewaskan Tajikistan 1-0 di Stadium Republican Central, awal pagi tadi.
Penyerang negara, Intan Serah Anisah Zulgafli percaya tiada apa yang mustahil untuk memburu slot ke pusingan akhir walaupun Korea Utara dilihat sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Kumpulan H.
“Semasa babak pertama, kami sedikit bergelut tetapi kami tetap merasakan ada peluang selagi wisel penamat tidak dibunyikan. Untuk memperoleh enam mata adalah satu pencapaian besar untuk saya.
“Tidak ada yang mustahil dan paling penting kami kena berikan yang terbaik semasa melawan Korea Utara. Kami kena yakin dengan diri sendiri dan rakan sepasukan,” katanya.
Henrietta Justine muncul wira skuad negara apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan babak kedua sekaligus meletakkan Malaysia di tangga kedua, berkongsi enam mata dengan Korea Utara yang memiliki kelebihan jaringan.
Pada perlawanan ini juga, Intan Serah turut mencuri perhatian apabila dilihat ‘naik hantu’ dengan menolak pertahanan lawan, Imomalieva Dildora yang bertindak agresif mengheret pemain negara yang sedang mengalami kecederaan.
Sabtu ini skuad kendalian Joel Cornelli akan melengkapkan aksi Kumpulan H menentang Korea Utara yang kini menghuni ranking kesembilan dunia. – KOSMO! ONLINE