SEREMBAN – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung perempuannya yang berusia 12 tahun sejak Februari lalu.
Tertuduh yang berusia 46 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap anak kandungnya yang ketika itu berusia 11 tahun 11 bulan.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal membabitkan kontak fizikal bagi maksud seksual terhadap mangsa sama yang ketika kejadian berusia 12 tahun 1 bulan dan pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 14(d) Akta 792.
Ketiga-tiga pertuduhan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 dan dibacakan bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta 792, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat manakala di bawah Seksyen 16(1) akta sama, boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan minimum dua sebatan.
Kesalahan itu dilakukan di bilik tidur sebuah rumah di Lukut, Port Dickson pada Februari dan Mei lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh namun, sekiranya dibenarkan beliau memohon jaminan tinggi RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan
Menurut Nurul Balkis, dalam kes tersebut mangsa adalah anak kandung tertuduh yang tinggal serumah dan laporan polis dibuat oleh isterinya. – KOSMO! ONLINE