PETALING JAYA – “Kadang kita rasa kita dah susah, tapi sebenarnya ada orang yang jauh lebih susah dari kita.”
Itulah gambaran dikongsikan seorang pengguna Thread @dhyea_hana ketika bertemu dengan sebuah keluarga kecil yang terpaksa meletakkan semula susu formula anaknya kerana tidak cukup wang.
Menurut wanita itu, kejadian tersebut berlaku di sebuah pasar raya selepas pengumuman sistem MyKasih tidak berfungsi semalam.
Katanya, selepas pengumuman itu, ramai pelanggan mula meletakkan semula barangan mereka ke rak, termasuk sebuah keluarga yang dilihat berdepan kesulitan apabila si anak kecil mula merengek meminta susu.
“Ada satu keluarga, anak dia dah merengek nak susu. Si ayah langsung tak ada duit. Dia letak balik susu yang dah ambil tadi. Terdengar si isteri cakap perlahan “Abang, susu kat rumah dah habis… macam mana ni? Kita bagi anak minum susu pekat campur air je lah ya?,” katanya.
Kisah itu turut mengundang rasa sebak kepada wanita tersebut dan suaminya, yang kemudiannya menghampiri lelaki berkenaan dan menghulurkan RM50 sebagai bantuan peribadi.
“Suami aku hulur RM50 sambil salam kaut. Mula-mula abang tu tolak, tapi suami cakap “Kalau abang tak nak, abang bagi je dekat anak”. Abang tu terus menangis.
“Katanya dia baru mula kerja, memang tengah susah. Selama ni bergantung pada MyKasih je untuk ‘topup’ barang dapur,” kongsinya.
Insiden ini mencetuskan reaksi ramai netizen yang turut meluahkan rasa simpati dan menyeru agar pihak berwajib segera menyelesaikan isu berkaitan sistem MyKasih agar bantuan kepada rakyat marhaen tidak terganggu.
“Harap pihak berkaitan dapat pantau, kesian bila sistem MyKasih ‘problem’, sangat ramai terkesan,” kata Azirul.
“Kisah ini mengajar kita bahawa ramai rakyat masih bergantung sepenuhnya pada bantuan seperti MyKasih untuk memenuhi keperluan asas harian. Bila sistem tergendala, kehidupan mereka juga terhenti seketika hingga anak kecil terpaksa diberi susu pekat sebagai ganti susu formula,” kata pengguan yang lain. – KOSMO! ONLINE