fbpx

Amaran UPSI mahu dominasi olahraga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONTINJEN UPSI meraikan kejayaan merangkul 12 pingat emas dalam VTF di Stadium UniSZA, Kuala Nerus baru-baru ini.

DOMINASI Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam acara olahraga institusi pengajian tinggi (IPT) sekian lama kini dicabar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang cemerlang dalam Kejohanan Trek dan Balapan Varsiti (VTF) Siri 2 baru-baru ini.

Kedua-dua kontinjen IPT itu menamatkan saingan di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kutipan 12 pingat emas, namun kelebihan jelas berpihak kepada UPSI yang menyapu 11 emas daripada acara trek berbanding hanya empat emas diperoleh UPM.

Antara pencapaian paling menyerlah pastinya pelari muda UPSI, Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang mencuri tumpuan apabila memecahkan rekod kejohanan dengan masa 10.32 saat (s), 0.23s di belakang catatan kebangsaan milik Azeem Fahmi (10.09s).

Selain 100 meter (m), UPSI turut menyapu bersih acara 4x100m dan 400m lari berpagar lelaki dan wanita, disamping menguasai 200m wanita, 400m lelaki serta 4x400m campuran.

UPSI turut menampilkan kehebatan acara jarak jauh apabila meraih emas  5,000m wanita dan 10,000m jalan kaki, membuktikan keupayaan menyeluruh atlet mereka merangkumi semua disiplin trek.

Penyelaras pasukan olahraga UPSI, Prof. Madya Dr. Thariq Khan Azizuddin Khan berkata, kejayaan itu merupakan hasil pendekatan latihan yang sistematik dan sokongan berterusan daripada pihak pengurusan sukan universiti.

“Kami tidak letak tekanan untuk jadi juara keseluruhan, sebaliknya kami memberi fokus kepada peningkatan prestasi peribadi setiap atlet. Alhamdulillah, ramai berjaya pecah catatan terbaik masing-masing dalam VTF kali ini.

“Danish contoh atlet muda yang sangat berpotensi. Kami yakin dia mampu menyertai barisan pelapis utama negara bersama Azeem Fahmi suatu hari nanti,” katanya.

Prestasi cemerlang UPSI memberi isyarat awal mereka kini antara pencabar utama kejuaraan keseluruhan menjelang Grand Final VTF di UPM pada November depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI