KUALA LUMPUR – Hyundai Motor Malaysia (HMY) hari ini melancarkan Hyundai Santa Fe generasi kelima di Malaysia, dengan harga permulaan RM225,000.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan konfigurasi tujuh tempat duduk itu hadir dengan rekaan serba baharu yang lebih maskulin dan premium.
Tiga varian ditawarkan untuk versi facelift kali ini, dengan dua tren kuasa iaitu 2.5 liter turbo petrol dan 1.6 liter turbo hibrid.
Santa FE HEV Prime ditawarkan pada harga RM225,000, Santa Fe Hibrid Elektrik (HEV) Prestige RM245,000 dan Santa Fe 2.5 Turbo Calligraphy RM270,000 atas jalan raya tanpa insurans.
Pengarah Urusan HYM, Jahabarnisa Haja Mohideen berkata, Hyundai bukan sekadar membawa model baharu, tetapi nilai jangka panjang melalui teknologi, keselamatan dan reka bentuk berorientasikan pelanggan.
“Dalam tempoh lima tahun, sebanyak tujuh model Hyundai dijangka akan dipasang secara tempatan (CKD) termasuk varian enjin pembakaran dalaman (ICE) dan HEV.
“Pengeluaran tempatan ini akan bermula dengan tiga model utama iaitu Hyundai Staria, Hyundai Tucson dan Hyundai Santa Fe,” katanya pada Majlis Pelancaran Tiga Model Baharu Hyundai di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Selain Hyundai Santa Fe, model versi facelift Hyundai Staria dan Hyundai Tucson turut dilancarkan untuk pasaran tempatan.
Jahabarnisa menambah, pihaknya turut menyusun semula strategi rangkaian pengedaran dan perkhidmatan selepas jualan dengan perancangan untuk mewujudkan sehingga 25 cawangan di seluruh negara menjelang 2030.
“Inisiatif ini membuktikan kesungguhan Hyundai dalam menyediakan pengalaman pemilikan bertaraf dunia kepada pelanggan Malaysia,” katanya.
Mengenai Hyundai Santa Fe terbaharu, reka bentuk luarannya kini tampil bersegi dan maskulin dengan lampu berbentuk H.
Saiznya lebih besar daripada versi sebelum ini dengan dimensi 4,830 milimeter (mm) panjang, 1,900 mm lebar dan 1,720mm tinggi serta jarak antara roda 2,815mm.
Hyundai Santa Fe varian 2.5 liter turbo petrol mampu menghasilkan kuasa maksimum 281PS dan tork 440Nm manakala varian 1.6liter turbo hibrid menjana kuasa 235PS dan tork 367Nm.
Untuk keselamatan, semua varian dilengkapi 10 beg udara dan sistem bantuan pemandu canggih termasuk AEB generasi baharu, Lane Keeping Assist, Blind-spot Collision Avoidance, Rear Cross Traffic Alert dan ciri Bantuan Parkir Jarak Jauh (Remote Smart Parking Assist) untuk varian lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE