MANCHESTER – Manchester United dilaporkan sedang memantau penyerang Aston Villa, Ollie Watkins sebagai pengganti berpotensi sekiranya Rasmus Hojlund meninggalkan kelab itu pada musim panas ini.
Hojlund, 22, hanya menjaringkan empat gol di Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak tiba dari Atalanta pada 2023 dengan harga £72 juta (RM429 juta).
Walaupun pemain Denmark itu menegaskan mahu kekal di Old Trafford, Inter Milan dikaitkan sebagai destinasi baharu kariernya.
Menurut laporan, United telah menghubungi orang perantara untuk menyatakan hajat mereka mendapatkan Watkins, 29, yang menjaringkan 16 gol dan lapan bantuan jaringan musim lalu ketika dia masih memiliki kontrak sehingga 2028.
Watkins dianggap sebagai penyerang berpengalaman yang mampu menyumbang gol serta memberi impak segera kepada skuad Ruben Amorim yang berdepan masalah khususnya di bahagian serangan pada musim lalu.
United pernah menyenarai pendek Watkins pada 2023 sebelum memilih Hojlund dan kini mereka mungkin dipertimbangkan semula potensi perpindahan itu, terutama selepas Arsenal menarik diri pada Januari lalu kerana menganggap nilai diletakkan terlalu tinggi.
Villa ketika ini juga terdesak untuk menjual beberapa pemainnya ekoran perlu mematuhi Peraturan Keuntungan dan Kestabilan (PSR) menyebabkan penjualan Watkins bukanlah sesuatu yang mustahil berlaku.
United sebelum ini mahu menggunakan Marcus Rashford sebagai terma pertukaran dengan Watkins di Villa, namun pemain The Red Devils itu lebih cenderung untuk menyertai Barcelona menyebabkan tidak ada persetujuan dicapai. – AGENSI