NEW DELHI – Seorang penduduk di Navi Mumbai, Anup Kumar Nair memilih untuk menyendiri di kediamannya sejak tahun 2022, lapor laman berita NDTV semalam.
Baru-baru ini, pekerja-pekerja bantuan kemasyarakatan daripada Persatuan Sosial dan Evangelikal untuk Cinta (SEAL) tiba di kediaman lelaki berusia 55 tahun itu dan mendapati dia berada dalam keadaan sangat tidak terurus.
Rambutnya kusut-masai, manakala jangkitan serius pada bahagian kaki menyebabkan kulitnya menjadi hitam.
Dia tidur di atas kerusi di ruang tamu kerana katilnya rosak dan tidak lagi boleh digunakan.
Dalam tempoh enam tahun lalu, Nair kehilangan kedua-dua ibu bapanya, sementara abang lelaki itu meninggal dunia akibat mengambil nyawa sendiri lebih dua dekad lalu.
Semua peristiwa itu menyebabkan dia murung dan memencilkan diri dari dunia luar.
Latar belakang keluarganya bagaimanapun cukup mengagumkan, Nair sendiri merupakan pengaturcara komputer profesional, ibunya berkhidmat dalam unit telekomunikasi Tentera Udara India, manakala bapanya bertugas di Hospital Tata di Mumbai.
Pasukan SEAL tiba di rumahnya selepas dimaklumkan oleh penduduk setempat. Mereka membawa Nair ke sebuah badan amal di Panvel untuk merawat jangkitan kuman di kakinya. – AGENSI