fbpx
MOHAMAD ARIF sentiasa menambah ilmu berkaitan perniagaan dan pembuatan kek dengan memasuki kelas serta bengkel bakeri.

K2

Lupakan ijazah, Arif usahakan bakeri resipi ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINAT dalam bidang bakeri sejak di bangkku sekolah rendah membuatkan anak muda ini memilih untuk bergelar usahawan kek.

Siapa sangka, hanya sekadar mahu membantu ibu di dapur ‘baking’ kek mentega (butter) klasik membuatkan Mohamad Arif Zainol, 26, nekad memilih perniagaan sebagai sumber pendapatan meskipun mempunyai pendidikan tinggi.

Anak jati negeri Jelapang Padi ini memberitahu, usai tamat pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Automotif dari Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), dia mengalami kesukaran mencari pekerjaan sehingga dia cuba berjinak-jinak menceburi bisnes bakeri.

“Umum tahu, pada tahun 2023 adalah pasca pandemik Covid-19. Jadi peluang pekerjaan ketika itu sangatlah terhad.

“Di situlah permulaan titik tolak sebagai usahawan muda bakeri bermula dengan bermodalkan wang simpanan berjumlah RM5,000.

“Saya bermula dengan masuk ke dapur dan membakar kek serta menjualnya secara kecil-kecilan menggunakan 100 peratus resipi ibu,” katanya.

Rezeki berpihak, dia terus mengorak langkah membina perniagaannya dengan sema­ngat dan usaha gigih bagi memenuhi permintaan pelanggan yang pelbagai.

Mohamad Arif juga ketika itu tidak menoleh ke belakang dan yakin bahawa maklum balas serta kepuasan pelanggan adalah kunci utama kepadanya untuk terus menawarkan kek mentega berkualiti.

Melihat peluang dan potensi perniagaan semakin maju, anak bongsu daripada lima beradik ini nekad mengasah bakatnya dalam bidang bakeri dengan mengikuti pelbagai kursus di pelbagai negeri antaranya kursus aneka

masakan dan bakeri di Culinaria yang terletak di Alor Setar, Kedah dan TK Akademi Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur.

“Kurangnya pengalaman dalam dunia bakeri menuntut saya untuk menggali dan mencari ilmu melalui kelas dan kursus kemahiran.

“Tahun lalu, saya menyertai beberapa kursus bakeri secara personal (peribadi) dan jangka pendek di beberapa buah negeri.

“Ia mengambil masa yang sangat singkat untuk mahir dalam pembuatan dessert (pencuci mulut) moden seperti kek,” katanya.

ANAK muda ini tidak menyesal mengusahakan perniagaan kek meskipun mempunyai ijazah dalam bidang teknologi automotif.

Tidak sekadar itu, Mohamad Arif juga pernah menyertai kursus berkenaan pengendalian makanan secara profesional anjuran pihak kerajaan dan swasta.

Jelasnya, ia sangat berbeza dengan prosedur operasi standard (SOP) kerja yang dilakukan dalam perniagaannya sebelum ini.

“Kebanyakan kursus dan latihan yang saya hadiri bertujuan menambah baik sistem pengurusan syarikat supaya lebih teratur memandangkan cetek pengalaman bekerja dalam bidang pengurusan
dan operasi.

“Saya juga akan terus mengasah dan menambah kemahiran serta ilmu dalam bidang bakeri dari semasa ke semasa meskipun ia hanya sekadar kursus jangka pendek,” katanya.

Pengalaman dan jatuh bangun menjadi ‘guru’ buat anak muda ini menjadi semakin matang dan terus menyimpan cita-cita membesarkan lagi empayar perniagaannya.

Menurutnya, pada tahun kedua bisnes, dia berjaya membangunkan sebuah dapur berpusat (centralized kitchen) bagi membolehkan syarikat menampung kapasiti lebih besar untuk memenuhi permintaan kek yang semakin bertambah.

“Setakat ini kami telah menghasilkan lebih 10,000 biji kek dan ia ditawarkan dalam empat jenis perisa iaitu mentega asli, marble coklat, oren sunquick dan pandan kelapa gula melaka.

“Kek-kek ini juga dihidangkan dalam tiga kategori saiz dan ditawarkan dengan harga yang berbeza dan boleh didapati secara online atau walk-in ke premis,” katanya.

Jelas Mohamad Arif, pada tahun hadapan, syarikat optimis menghasilkan 400 hingga ke 1,000 biji kek sehari hasil daripada permintaan tinggi pelanggan dalam negara.

Mengulas mengenai keunikan barisan produk Mak Umi Kitchen yang dikeluarkan, Mohamad Arif memberitahu, ia berjaya memenangi hati pelanggan kerana dihasilkan daripada bahan-bahan berkualiti dan dijamin halal.

Berkongsi mengenai perancangan lima tahun ke depan, syarikatnya mahu mengorak langkah lebih meluas, selari dengan matlamat untuk menghidupkan dan mengembangkan manisan tradisional ke peringkat global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN