SUNGAI PETANI – Mayat kanak-kanak yang terlibat dalam tragedi bot terbalik di perairan Pulau Perhentian, Terengganu tiba di rumah keluarganya di SP Heights, di sini pukul 1 pagi tadi sebelum dibawa ke tempat pembakaran tengah hari ini.
Mayat V. Vennpani, 10, dibawa ke tempat pembakaran di Kampung Serukam kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.
Lebih 300 ahli keluarga dan kenalan memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan nenek Vennpani, T. Panjawarnam, 68, terkejut dan sedih dengan pemergian cucunya yang turut dijaganya sejak dilahirkan.
Kelahiran Vennpani yang merupakan anak tunggal kepada M. Vijeya Raj, 40, seorang guru dan K. Nalini, 39, pekerja kilang di Batu Kawan, Pulau Pinang sangat dinanti-nantikan keluarga tersebut. – KOSMO! ONLINE