fbpx

Atlet UPSI muncul raja, ratu pecut VTF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DANISH Iftikhar (kanan) dan Wardatul muncul raja serta ratu pecut VTF Siri 2 di Stadium UniSZA, Kuala Nerus semalam.

BINTANG muda Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Danish Iftikhar Muhammad Roslee memecahkan rekod 100 meter (m) Kejohanan Trek dan Balapan Varisiti (VTF) pada penampilan sulungnya di Siri 2 di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kuala Nerus semalam.

Catatan 10.32 saat (s) itu menjadikan pelari berusia 18 tahun tersebut antara prospek terbaharu masa depan pecut negara.

Ia bukan sahaja menghadiahkan pingat emas buat Danish Iftikhar, malah memadam rekod lama kejohanan dipegang atlet kebangsaan, Jonathan Nyepa dengan catatan 10.51s.

Pecutan atlet kelahiran Johor itu menewaskan tujuh pencabar lain termasuk juara bertahan tahun lalu, Muhammad Raimi Mustaffa Kamal dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Danish Iftikhar kini meletakkan sasaran memburu podium di Siri 3 bagi melayakkan diri ke pentas Grand Final VTF di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada November depan.

Pelajar jurusan Sains Sukan dan Kejurulatihan itu menjelaskan, kata-kata azimat diberikan pemegang rekod kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi sebelum perlumbaan menjadi perangsang buatnya.

“Alhamdulillah, rezeki saya muncul juara dan memecahkan rekod pada penampilan pertama. Ia hasil bimbingan jurulatih serta sokongan rakan-rakan.

“Begitupun, saya sedikit terkilan tidak berpeluang berlumba dengan Azeem yang juga idola saya. Dia menarik diri daripada saingan akhir berikutan masalah kesihatan,” katanya.

Seorang lagi atlet UPSI, Nurul Wardatul Huwaida Mohd. Hamka turut cemerlang apabila menjuarai saingan 100m wanita.

Atlet kelahiran Gong Badak, Kuala Nerus itu mengatasi pencabar terdekat termasuk rakan sepasukan, Mis Ezatul Shafieqa Sapawi dengan catatan 12.12s.

“Walaupun masih bergelut dengan kecederaan lutut, Alhamdulillah saya tetap berjaya memperbaiki pencapaian di VTF Siri 1 di Johor sebelum ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN