PETALING JAYA – Seorang wanita maut dalam kemalangan tragis melibatkan sebuah motosikal dan dua buah kenderaan di Kilometer 292 Lebuhraya Utara-Selatan arah ke Seremban, berhampiran Bandar Baru Bangi, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.26 petang itu, mangsa yang membonceng motosikal jenis Yamaha 135LC bersama seorang lelaki dipercayai terbabas sebelum melanggar sebuah kereta jenis Proton Wira.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), mangsa tercampak dan terperosok di bawah sebuah lori treler yang berada di lokasi kejadian.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Bangi bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan dan mendapati mangsa pembonceng motosikal berada dalam keadaan tersepit di bawah treler.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE