KAMPAR – Sinergi dan bantuan berterusan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) membolehkan Kolej Teknikal Sri Ayu terus memperkasakan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai teras pengajian sejak 2005.
Pengarahnya, Rezni Majid berkata, MAIPk dan Pasak bukan sahaja membantu sesi temuduga dengan majikan berpotensi bagi lepasan kolej itu, malah membiayai secara percuma pengajian golongan asnaf, B40, miskin, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) sekiranya layak.
“MAIPk telah membiayai pengajian kira-kira 50 pelajar untuk mendalami kursus berkaitan bidang automatif dan alat penyaman udara yang sememangnya kritikal serta mendapat permintaan tinggi daripada industri.
“Lepasan kedua-dua kursus ini berpeluang melanjutkan pelajaran di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) untuk menjadi tenaga pengajar, atau bekerja di firma besar, syarikat swasta dan memulakan perniagaan sendiri,” katanya kepada Kosmo! di sini, baru-baru ini.
Katanya, MAIPk bukan sekadar menaja pengajian, elaun makanan sebanyak RM600 sebulan dan kemudahan asrama, tetapi juga memastikan setiap pelajar tajaan mereka mendapatkan pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian.
“Pegawai MAIPk sentiasa mengadakan lawatan berkala bagi memastikan setiap pelajar tajaan dalam keadaan yang baik supaya mereka menjadi tenaga mahir profesional pada masa depan.
“Setakat ini, ada beberapa lepasan pelajar yang telah membuka bengkel kenderaan atau syarikat berkaitan alat penghawa dingin dan beroleh pendapatan sehingga RM5,000 sebulan,” katanya.
Menurut Rezni, bantuan Pasak pula termasuk mengadakan program bersama majikan berpotensi, menawarkan kursus modular jangka pendek secara percuma selama tiga bulan kepada golongan miskin, B40 dan OKU, serta menaja pelajar untuk mendalami bidang kenderaan elektrik (EV) di China.
“Kebolehpasaran pelajar kami lebih daripada 90 peratus. Walaupun sekadar menjalani kursus singkat berkaitan asas automatif dan alat penghawa dingin, mereka boleh memanfaatkannya untuk beroleh pendapatan sampingan bagi menampung diri dan keluarga.
“Menjelang tawaran kursus baharu berkaitan kejuruteraan elektrik dan EV di kolej kami tidak lama lagi, Pasak turut memberi bantuan konsultasi dan promosi untuk menarik pelajar baharu,” katanya.
Ujarnya, 70 peratus pelajar kolej yang mendapat pengiktirafan empat bintang daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) itu merupakan anak negeri Perak yang berumur 18 hingga 30 tahun.
Tambah beliau, terdapat lepasan pelajar kolej itu yang kini bekerja bersama Proton di Tanjung Malim dan menyokong pertumbuhan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) bagi pembuatan kenderaan nasional dan industri kenderaan tenaga baharu (NEV).
Perkembangan ini selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche daerah Tanjung Malim sebagai AHTV di Bandar Proton.
Ia juga menepati flagship keempat Perak Sejahtera 2030 iaitu Koridor TVET Malaysia dan flagship kelima iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat cetusan berwawasan
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan dan mensejahterakan rakyat.