REMBAU – Lima rakyat Malaysia terdiri daripada empat orang pelajar serta seorang peniaga masih berada di Iran serta sudah menandatangani aku janji tidak menyertai evakuasi pulang ke negara ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kesemua lima individu itu mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan Wisma Putra, namun memilih untuk terus tinggal di Iran.
Menurutnya, proses evakuasi rakyat Malaysia di Iran sudah pun selesai pada tengah malam 21 Jun lalu dengan membawa pulang 24 individu dan seorang rakyat Singapura.
“Ruang udara Qatar dah dibuka dan rakyat Malaysia di Qatar berada dalam keadaan selamat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agong Koperasi kali ke-52 Koperasi Kaum Ibu Penajes, di sini hari ini.
Dalam majlis berkenaan, Mohamad turut mengumumkan Wisma Putra dalam proses untuk menjadikan Kampung Sawah Raja, di sini, sebagai Kampung Angkat Madani dengan peruntukan RM1 juta dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Batu Hampar sebagai sekolah angkat Madani.
Sementara itu, dalam perkembangan mengenai Ambalat iaitu wilayah sempadan maritim Malaysia dan Indonesia, kedua-dua pemimpin negara iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto sudah hampir mencapai kata sepakat.
Bagaimanapun menurutnya, terdapat beberapa perkara termasuk di bahagian teknikal untuk mengenalpasti serta memuktamatkan kaedah kedua-dua negara untuk dapat menikmati hasil bumi yang ada di Ambalat. – KOSMO! ONLINE