BEIRUT – Serangan Israel di selatan Lebanon semalam membunuh dua orang, kata Kementerian Kesihatan Lebanon dengan Rejim Zionis memberi alasan menyasarkan kumpulan Hezbollah.
Kementerian itu berkata, seorang lelaki cedera dalam serangan dron Israel yang menyasarkan jentolaknya.
Seorang lagi cedera dalam serangan ke atas motosikal.
Kedua-dua mereka meninggal dunia di hospital tidak lama kemudian.
Tentera Israel berkata, mereka menghapuskan seorang komander Pasukan Radwan Hezbollah di kawasan Baraasheet.
Ia merujuk kepada unit elit kumpulan yang disokong Iran dan seorang pejuang dari pasukan pemerhati Hezbollah di Beit Lif.
Israel meneruskan serangan ke atas Lebanon, terutamanya di selatan, sejak gencatan senjata pada 27 November tahun lalu bertujuan menamatkan permusuhan selama setahun ke atas Hezbollah.
Di bawah perjanjian gencatan senjata, anggota-anggota Hezbollah akan berundur kembali ke utara Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Israel.
Ini menjadikan tentera Lebanon dan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dibenarkan berada di kawasan itu.
Israel dikehendaki mengundurkan sepenuhnya tenteranya.
Namun, tentera Israel telah meletakkan anggota-anggotanya di lima lokasi di selatan Lebanon yang dianggapnya strategik.
Pada Selasa lalu, Kementerian Kesihatan Lebanon berkata, tiga orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah kenderaan di daerah Nabatiyeh, selatan negara berkenaan. – AFP