JEMPOL – Seorang lelaki maut selepas 14 jam dirawat di Hospital Jempol susulan terbabit nahas selepas motosikal ditunggang melanggar bahagian belakang lori di jalan perkampungan Felda Serting Hilir 6, Jempol, dekat sini tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Norhisham Mustapar berkata, mangsa berusia 39 tahun menunggang motosikal jenis Wmoto disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7 pagi semasa menerima rawatan di hospital tersebut.
“Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku semasa pemandu lori iaitu lelaki berusia 35 tahun dari arah Serting Hilir 4 menghala ke jalan utama Serting Hilir Tembangau dan penunggang motosikal juga dari arah yang sama.
“Setiba di lokasi kejadian semasa lori sedang bergerak terus tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah belakang telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori tersebut.
“Akibat daripada kemalangan ini, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah di bawa ke Hospital jempol untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia pukul 7 pagi tadi,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.-KOSMO! ONLINE