KETIKA ramai streamer bermula daripada minat sejak zaman kanak-kanak, Jessica Chua pula menemui dunia e-sukan selepas bergelar ibu.
Ketika itu, wanita berusia 36 tahun tersebut sedang berpantang dan menjalani hidup sebagai suri rumah sepenuh masa.
Wanita asal Kedah itu pada mulanya hanya bermain permainan mudah seperti Clash of Clans sebelum beralih kepada Mobile Legends.
Setelah setahun sekadar bermain, wanita yang terkenal dengan jenama MamaJess mula menonton siaran-siaran langsung streamer dari Malaysia.
Dari situ, dia semakin aktif dalam komuniti dan akhirnya dilantik sebagai moderator bagi membantu menguruskan interaksi penonton dalam sesi siaran langsung tersebut.
Menurut MamaJess, sokongan dan galakan ramai telah mendorongnya untuk memulakan siaran langsung tanpa kamera menggunakan aplikasi Omelette Arcade di telefon.
“Pada mulanya, saya buat live tanpa tunjuk muka sebab tiada komputer riba. Kemudian, pengulas e-sukan, KBC Sensei sarankan saya guna kamera untuk tarik lebih ramai penonton.
“Untuk beli komputer riba, saya jual barangan bayi secara dalam talian dan siapa sangka, usaha itu membuka jalan kepada kontrak bersama Facebook Gaming,” katanya kepada K-Remaja.
Untuk rekod, MamaJess pernah menjuarai Mobile Legends Ladies 2020 bersama rakan-rakannya dan menerima pengiktirafan MLBB Creator Award 2024 di atas sumbangannya dalam industri.
Mengulas mengenai makna di sebalik nama MamaJess, ibu kepada seorang anak lelaki itu mengakui bahawa gelaran tersebut sebenarnya diberikan oleh para peminatnya.
Mereka mula memanggilnya MamaJess sebagai penghargaan terhadap ketabahannya mencari rezeki sebagai ibu tunggal dengan anak yang masih kecil.
MamaJess juga melalui fasa mencabar apabila berdepan perceraian di usia muda sambil menjaga bapa yang sedang sakit.
Dalam tekanan dan kesunyian itu, dunia penstriman bukan sahaja menjadi ruang terapi, malah sumber rezeki yang membantu menampung kehidupan.
Kehadirannya sebagai streamer mula mendapat perhatian apabila jumlah tontonan siaran langsung meningkat secara mendadak sewaktu pandemik Covid-19 melanda pada tahun 2020.
Kongsi MamaJess, kerjayanya terus berkembang apabila menerima tajaan sebuah komputer peribadi daripada sebuah kedai perkakas elektronik.
“Apabila nama saya mula dikenali dan dapat tajaan komputer, saya mula meluaskan cabang rezeki sebagai pencipta kandungan di platform media sosial seperti Instagram dan TikTok.

“Saya buat ulasan tentang peranti elektronik dan hasilkan kandungan berkaitan dunia e-sukan,” ujarnya yang hanya melakukan penstriman pada waktu malam.
Sebagai seorang ibu dan streamer, MamaJess sentiasa menekankan nilai tanggungjawab dalam komuniti penstrimannya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Memiliki kumpulan peminat yang dikenali sebagai Toxic MJ, MamaJess turut dibantu oleh penonton setia yang membantu memantau kelakuan dalam siaran langsung.
MamaJess tidak menggalakkan penonton bawah umur untuk memberikan ‘hadiah’ kepadanya dan sentiasa memantau umur serta kemampuan kewangan mereka.
Selain itu, dia juga menolak budaya meminta-minta dalam kalangan penonton, sebaliknya menekankan pentingnya nilai usaha dan kerja keras.
Untuk menghargai penonton yang aktif, MamaJess memperkenalkan sistem ganjaran berdasarkan interaksi seperti Like, komen dan Share dalam siaran langsung.
“Penonton yang aktif boleh kumpul mata dan tebus dengan barangan dalam permainan, antaranya ‘skin’ atau ‘diamond’ dalam Mobile Legends.
“Pendekatan ini bukan sahaja tingkatkan interaksi, tapi juga cipta komuniti yang lebih mesra dan menghargai usaha,” katanya.
Komuniti Toxic MJ kini dianggotai lebih 60 ahli dari pelbagai bangsa dan negara termasuk Malaysia, Singapura, Filipina dan Brunei.
MamaJess sering menganjurkan perjumpaan seperti sesi berbuka puasa, BBQ di Port Dickson dan acara e-sukan seperti Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL).
Sebagai streamer yang rapat dengan komuniti, MamaJess bukan sekadar menghibur, malah aktif membantu ketika diperlukan.
“Kami gerakkan kutipan dana lebih RM1,000 untuk dua kes rumah terbakar, beri sumbangan kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang dan bantu penonton dapatkan telefon baharu.
“Lebih mengharukan, ada penonton yang akui berasa terinspirasi dengan usaha dan semangat yang saya tunjukkan terutama dengan status saya sebagai ibu tunggal,” katanya.
MamaJess tidak bercita-cita untuk menjadi streamer terkenal atau mengejar anugerah, walaupun industri e-sukan kini semakin mendapat perhatian.
Baginya, kekal ‘lowkey’ dan tidak terlalu menonjol jauh lebih penting demi melindungi keselamatan dan privasi anaknya yang kini berusia 10 tahun.
Walaupun rakan-rakan dan guru anaknya tahu dia seorang streamer, ia tidak pernah menimbulkan sebarang isu.
Malah, personaliti lantang dan sedikit kasar yang ditampilkan dalam talian dilihat sebagai sebahagian daripada ‘watak’ yang dibentuk khas untuk jenama dan kandungan penstrimannya.
“Sebagai seorang ibu, saya dah terangkan kepada anak saya sejak dia kecil lagi tentang ‘watak’ yang saya bawa di dunia maya.
“Jadi, dia faham perbezaan itu dan tahu apa yang ditampilkan hanyalah karakter semata-mata dan tidak menirunya,” kongsinya.
Disoal sama ada dia merancang untuk membantu lebih ramai ibu tunggal menjadi streamer, MamaJess tidak mahu beri galakan secara terbuka.
Ini kerana pengalaman selama tujuh hingga lapan tahun dalam dunia penstriman membuktikan tekanan sebagai live streamer bukan sesuatu yang mudah untuk seorang ibu hadapi.
Biarpun dirinya sudah lali dengan kecaman demi menyara anaknya, MamaJess menyarankan agar ibu-ibu tidak terjun ke dunia tersebut tanpa persiapan mental yang kukuh.
“Untuk jadi seorang streamer, seseorang itu bukan sahaja kena ada kemahiran asas bermain, tapi juga kena tahu menghibur dan mainkan karakter sendiri.
“Sepanjang usaha tu, memang akan ada pihak yang hantar komen-komen negatif, terutama mereka yang anggap kerjaya ini tak sesuai untuk seorang ibu,” katanya.














