fbpx

Cikgu Kwan Fong berhutang RM20,000, jasad belum dituntut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JASAD mendiang Kwan Fong kini masih berada di Jabatan Perubat Foresik, HSA, Johor Bahru dan tidak dituntut ahli keluarga atau waris.

ISKANDAR PUTERI – Kematian seorang guru wanita yang ditemui mereput di dalam rumahnya di Bandar Selesa Jaya, di sini pada 13 Jun lalu, disyaki tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, walaupun mendiang Lo Kwan Fong, 39, pernah meminjam RM20,000 dengan sindiket along sebelum ini tetapi sudah menjelaskan hutang tersebut.

Katanya, siasatan awal pihak polis juga tidak menemukan kesan kejadian simbah cat di kediaman mangsa atau sebarang ugutan diterima mangsa.

“Mendiang pernah buat laporan polis berkaitan along dan kes disiasat dibawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

“Jiran mangsa juga menyatakan tiada along datang simbah cat di rumahnya. Mendiang juga tidak pernah buat laporan polis selepas hutang dilunaskan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Menurut Kumarasan, sehingga kini jasad Cikgu Lo masih belum dituntut oleh keluarga.

Katanya, pihak polis telah membuat semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mengesahkan mendiang adalah anak tunggal manakala ibu bapanya telah meninggal dunia.

“Pihak Polis akan berbincang semula dengan pihak hospital. Selepas dua minggu akan dilepaskan kepada pihak Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk melantik syarikat pengebumian swasta.

“Kita difahamkan mendiang mempunyai seorang mak cik dari Singapura tetapi sehingga kini kita tidak dapat maklumat berhubung perkara itu. Ada ibu bapa pelajarnya yang mahu membantu proses pengebumian,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI