TURIN – Juventus dilaporkan serius mahu menyelamatkan Jadon Sancho daripada ‘mimpi buruk’ di Manchester United dengan menawarkan pertukaran pemain melibatkan Dusan Vlahovic atau Douglas Luiz.
Menurut laporan, kelab Serie A itu dikatakan sudah lama meminati Sancho dan kekal berhubung dengan wakil pemain sayap England itu sejak lebih setahun lalu.
Juventus pernah cuba mendapatkannya musim lalu, tetapi tewas kepada Chelsea yang kemudian menolak tawarannya untuk mendapatkannya secara kekal dan terpaksa melunaskan bayaran berjumlah £5 juta (RM30 juta).
Sancho tidak berada dalam perancangan Pengurus United, Ruben Amorim yang mahu mendapatkan pemain baharu yang lebih berkualiti selain mengurangkan beban gaji ketika Sancho meraih pendapatan tinggi di Old Trafford.
Bagi merealisasikan impian tersebut, Juventus sanggup menawarkan Vlahovic yang turut diminati United sebagai calon penyerang baharu ketika edua-dua pemain itu akan tamat kontrak tahun depan, menjadikan ini wajar dari segi pertukaran nilai.
Douglas Luiz turut berada dalam tawaran yang disediakan oleh Juventus kepada United selepas dia gagal mendapatkan minit permainan yang banyak, tetapi Vlahovic dilihat lebih berpotensi dalam perpindahan tersebut. – AGENSI