fbpx

DBKL sasar 1.2 juta peluang kerja, 305,000 rumah mampu milik menjelang 2040

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (dua dari kanan) dan Dr. Maimunah (dua dari kiri) ketika melawat reruai pameran pada Majlis Peluncuran Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan 1.2 juta peluang pekerjaan bakal diwujudkan di ibu negara menerusi Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif berkata, sebanyak 72 juta meter persegi keperluan luas lantai perdagangan disasarkan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi bandar.

Katanya, PTKL 2040 turut menetapkan sasaran 305,000 unit rumah mampu milik menerusi pengenalan Zon Kediaman 4 (R4) bagi menyokong pembangunan residensi Madani.

“PTKL 2040 turut memperkenalkan kawalan nisbah plot, termasuk insentif untuk pembangunan semula, cantuman lot, kawasan Zon Perancangan Transit atau TPZ dan Zon Pengaruh Transit atau TIZ serta projek yang mengandungi komponen rumah mampu milik.

“Sebanyak 139 kawasan dikenal pasti berpotensi untuk pembangunan semula dengan tumpuan kawasan perumahan awam usang.

“Prinsip kita jelas, pembangunan semula mesti berdaya tahan, inklusif dan berdasarkan insentif yang adil sesuai dengan prinsip keadilan sosial dalam Malaysia Madani,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PTKL 2040 di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Maimunah berkata, dari segi mobiliti, pelan itu menyasarkan 70 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang 2040 yang disokong oleh Pelan Induk Trafik dan Pelan Laluan Pejalan Kaki dan Basikal.

Jelasnya, Inisiatif seperti mikromobiliti, laluan hijau berbumbung ialah contoh langsung bagaimana pelan ini diterjemahkan kepada tindakan.

Pada masa sama, katanya, PTKL 2040 turut menetapkan sasaran minimum 20 meter persegi tanah lapang bagi setiap warga kota, yang bersamaan lebih 4,700 hektar.

“Melalui Rangkaian Penghubung Taman (Green Connector) sepanjang 254 kilometer, kita menghubungkan taman-taman komuniti untuk memupuk gaya hidup sihat dan aktif.

“Ini sejajar dengan aspirasi untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat yang dipupuk oleh konsep bandar CHASE iaitu Clean Healthy Advanced Safe and Ecological di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP),”ujarnya.

Sebagai langkah masa hadapan katanya, DBKL juga sedang membangunkan Urban Digital Twin Kuala Lumpur yang akan membolehkan data pembangunan dikemas kini secara masa nyata.

“Ini akan memastikan dasar dan tindakan kami berlandaskan fakta, bukan persepsi. Ini adalah satu amalan yang mencerminkan nilai akauntabiliti dan integriti iaitu pembaharuan tadbir urus di DBKL,” ujarmya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI