fbpx

Tempuh 1,000 km keluar dari Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairi bercakap kepada pemberita selepas tiba ke tanah air dari Iran susulan ketegangan memuncak di Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, malam tadi. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

SEPANG – Seramai 17 rakyat Malaysia yang berjaya dibawa keluar dari Iran terpaksa menempuh perjalanan mencabar sejauh 1,000 kilometer melalui laluan darat.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar, laluan darat yang lebih jauh itu dipilih atas pertimbangan keselamatan setelah mengambil kira lokasi serangan yang aktif berlaku di wilayah barat negara berkenaan.

“Kita melalui perjalanan yang agak panjang kerana keluar daripada Tehran itu kita melalui jalan darat hampir 1,000 km dan bermalam di sempadan.

“Kita pilih laluan yang jauh daripada punca serangan yang datangnya daripada arah barat, jadi kita (pilih untuk) bergerak ke arah timur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, malam tadi.

Kumpulan yang dibawa keluar itu terdiri daripada 17 rakyat Malaysia, enam warga Iran yang merupakan tanggungan mereka, serta seorang warga Singapura.

Mereka melepasi sempadan Iran-Turkmenistan sebelum menaiki penerbangan Turkmenistan Airlines T5 647 pada semalam.

Setibanya di Bangkok, Thailand untuk transit, mereka meneruskan penerbangan ke Malaysia dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines MH781 dan tiba di KLIA pada pukul 11.03 malam.

Mengulas lanjut, Khairi memaklumkan bahawa proses evakuasi turut berdepan cabaran komunikasi susulan gangguan capaian internet di Iran.

“Kita terpaksa gunakan cara lama, iaitu khidmat pesanan ringkas (SMS). Komunikasi hanya boleh dibuat melalui nombor tempatan Iran kerana sistem roaming dari luar negara tidak berfungsi.

“Walaupun mencabar, kaedah ini membolehkan kami terus menyalurkan maklumat penting,” ujarnya.

Beliau turut mendedahkan bahawa situasi konflik di Iran berubah dengan pantas dan mengejutkan ramai rakyat tempatan sendiri.

“Kita sudah dapat lihat pola serangan, biasanya sengit pada waktu malam, tetapi berkurang pada siang hari.

“Kedua-dua pihak menyerang sasaran strategik masing-masing, termasuk fasiliti tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Khairi memaklumkan bahawa masih terdapat sekurang-kurangnya 12 rakyat Malaysia yang masih berada di Iran, termasuk pelajar dan individu yang berkahwin dengan warga tempatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI