Empat hari lagi, umat Islam di negara ini khususnya akan menyambut awal muharam.
Intipati bulan Islam tersebut sudah tentunya hijrah yang memberikan inspirasi untuk berubah ke arah lebih baik.
Ia juga menjadi refleksi dan pembinaan diri menetapkan tujuan baru dalam meningkatkan kualiti kehidupan.
Kita tidak mahu sambutan awal muharam tersebut hanya kerana adat kebiasaan.
Perang melawan nafsu khususnya antara yang perlu dipertingkatkan kerana apabila tidak terdidik akan menjadi ganas dan buas.
Teringat kepada pertemuan semula baru-baru ini dengan salah seorang individu yang pernah terjerumus aktiviti seks songsang yang sebelum ini ditemu bual penulis pada dua tahun lalu.
“Syukur, nekad saya untuk berhijrah membuatkan diri kini lebih tenang, malah dapat bantu orang lain dalam program-program berbentuk motivasi atau pencegahan.
“Saya tidak mahu lihat ke belakang tetapi apa mampu buat pada masa depan,” katanya.
Jelasnya, hawa nafsu kalau tidak dilawan dan dididik akan membuatkan kita menjadi hamba.
“Lalu akan menjadi ganas dan buas. Tak mengapa berubahnya sedikit demi sedikit. Paling penting berterusan.
“Memang perit nak lawan hawa nafsu itu tetapi kalau bertangguh-tangguh untuk berubah dan anggap esok masih ada, akan buat kita terus lalai,” tegasnya.
Justeru, semangat hijrah itu perlu digerakkan dengan membina disiplin diri termasuk ilmu serta sentiasa istiqamah. Kesemua itu akan memperkasakan minda, emosi dan keperibadian agar lebih stabil serta bersedia menghadapi apa jua situasi.
Tanpa disiplin, impian atau sasaran sesuatu adalah sukar untuk diwujudkan. Kejayaan itu bukan pasal perasaan atau mood sebaliknya konsisten diri.
Seorang jurulatih komunikasi terkenal, Rizal Rashid dalam pengkongsian di aplikasi TikTok menyatakan disiplin lebih
penting daripada komitmen yang akan bertindak sebagai ‘bahan bakar’ pada diri seseorang.
Ujarnya, komitmen itu boleh diibaratkan suntikan tambahan dalam mencapai sesuatu.
“Mula-mula ada motivasi, namun apabila tiada, akan membuatkan diri ‘down’.
“Kalau kita tiada motivasi tetapi ada disiplin sekurang-kurangnya kita akan bergerak (mencapai sesuatu).
“Disiplin akan menjadikan rutin seterusnya akan menjadi (panduan) bentuk hidup kita,” katanya.
Kesimpulannya, setiap tahun apabila bertukarnya kalendar Islam atau masihi, semua menanam niat atau azam mahukan perubahan.
Justeru, hijrah itu satu keperluan dengan pengertiannya adalah luas bergantung kepada seseorang individu.
Sudah tentu ia memerlukan pergorbanan dan perjuangan yang bukan sedikit. Namun, apabila sudah ditetapkan hala tuju kena terus berusaha melakukan transformasi ke arah lebih berjaya.
Apa yang penting kita berilmu dengan mempunyai sikap cekal dalam diri selain jiwa tidak kosong terutama dalam mengharungi pelbagai dugaan di alaf serba moden ini.














