BESUT – Seramai 13 pemancing yang sedang asyik mencandat sotong berdepan cemas apabila bot dinaiki mereka dipanah petir di perairan Pulau Perhentian, Kuala Besut dekat sini malam tadi.
Kejadian pada pukul 8.53 malam itu menyebabkan tekong bot itu, Mohd. Syukrillah Abd. Rahim, 44, mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan dan kepala.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd. Zailani Abdullah, berkata, Mohd. Syukrillah tercedera akibat terkena serpihan bumbung bot yang pecah terkena panahan petir terbabit.
“Difahamkan antena alat komunikasi bot telah terkena panahan petir sehingga menyebabkan bumbung bot pecah. Serpihan bumbung bot yang pecah tersebut kemudiannya mengenai belakang badan dan kepala mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Zailani berkata, seramai 13 lelaki termasuk tekong dan pembantunya yang berada di dalam bot terbabit kemudiannya dibantu nelayan lain yang kebetulan berada berhampiran lokasi sewaktu kejadian.
Beliau berkata, kesemua mangsa dipindahkan ke bot lain sebelum Mohd. Syukrillah yang cedera dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian dan kemudiannya dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.- KOSMO! ONLINE