BESUT – Adik bongsu Allahyarham Sufea Adela Maslihaizan yang terkorban dalam nahas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak berhasrat meneruskan cita-cita arwah kakaknya untuk menjadi ustazah.
Alia Hanani, 18, berkata, dia akan mendaftar pelajaran dalam bidang Diploma Pendidikan al-Quran dan Sunnah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 15 Julai depan.
“Arwah kakak (Sufea Adela) sangat inginkan saya menyambung pelajaran di UniSZA yang berdekatan dengan rumah kami.
“Semua proses permohonan untuk kemasukan saya ke universiti selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diuruskan arwah,” katanya ketika ditemui di Kampung Ayer Terjun, di sini hari ini.
Terdahulu dia menerima surat tawaran pengajian tersebut daripada Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam.
Alia Hanani berkata, walaupun masih bersedih dengan tragedi berkenaan, dia berjanji memanfaatkan peluang belajar itu sebaiknya untuk mencapai cita-cita arwah kakaknga yang ingin menjadi seorang ustazah.
Sementara itu, ibu, Alia Hanani, Zabidah Ibrahim, 49, berkata, tawaran belajar di UniSZA merealisasikan hasrat arwah Sufea Adela yang mahu salah seorang adiknya belajar berdekatan dengan dia dan suami.
Fadzli pula berkata, UniSZA turut memberikan sumbangan persediaan awal termasuk sebuah komputer riba kepada Alia Hanani, selain turut mempertimbangkan bantuan lain seperti dana kebajikan mahasiswa dan dana zakat. – KOSMO! ONLINE