fbpx

Tewas kepada Wales, Speedy Tigers sekadar tempat keenam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN-PEMAIN Wales meraikan jaringan ketika menentang Malaysia pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam Piala Negara-Negara hari ini. - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Harapan skuad hoki lelaki negara untuk menamatkan kempen dengan kemenangan tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Wales dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam Piala Negara-Negara FIH 2025 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Lebih mengecewakan, kekalahan ini merupakan yang pertama buat Malaysia dalam aksi kompetitif menentang Wales selepas lima perlawanan terdahulu menyaksikan Speedy Tigers kekal tanpa kalah sejak 2009.

Anak buah Sarjit Singh bermula perlahan dan beberapa kali mensia-siakan peluang, termasuk deretan pukulan sudut penalti (PC) yang tidak dimanfaatkan sebaiknya sepanjang tiga suku permainan.

Malaysia mendahului menerusi jaringan padang Syed Syafiq Syed Cholan pada minit ke-25, namun Wales bangkit menyamakan kedudukan menerusi Gareth Furlong pada minit ke-40 sebelum pemain sama meledak gol kemenangan 10 minit kemudian, juga hasil PC.

Speedy Tigers hampir menyamakan kedudukan pada 28 saat terakhir permainan apabila Faris Harizan menjaringkan gol padang, bagaimanapun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan bola terlebih dahulu terkena kaki Fitri Saari.

“Hari ini saya rasa kami perlahan. Walaupun kami mendahului 1-0, kami ada peluang untuk tamatkan perlawanan, tetapi kami tidak lakukannya,” kata Sarjit selepas tamat perlawanan.

Perlawanan itu turut menyaksikan penjaga gol utama negara, Muhammad Hafizuddin Othman mengalami kecederaan, sekali gus membuka ruang kepada pihak lawan untuk menguasai permainan.

Malaysia akhirnya menamatkan kempen di tangga keenam, iaitu satu anak tangga lebih baik berbanding kedudukan ketujuh pada edisi tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI