JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya membongkarkan taktik sindiket pengedaran dadah yang menggunakan inap desa dan pangsapuri sewa sebagai lokasi memproses dan menyimpan dadah sebelum diedarkan ke pasaran.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, sindiket itu telah beroperasi sejak dua bulan lalu didalangi seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.
“Menerusi serbuan dijalankan pada 12 dan 13 Jun lalu, kami berjaya merampas pelbagai jenis dadah antaranya 7,669.5 gram serbuk ekstasi; 13.6 gram ketamin dan lapan gram pil eramin 5.
“Selain dalang, tiga lagi lelaki tempatan beserta seorang lelaki Singapura dan seorang wanita Thailand berusia antara 30 hingga 39 tahun turut ditahan polis,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, di sini hari ini.
Tambah Raub, pihaknya telah menjalankan risikan selama seminggu, sebelum mendapati sindiket tersebut menjadikan kediaman di kawasan berpagar dan berpengawal sebagai pusat operasi mereka.
Raub turut memberitahu, ujian urin dibuat mendapati semua suspek positif methamphetamine, manakala semakan rekod lampau mendapati dua suspek tempatan mempunyai rekod kesalahan dadah dan jenayah.
“Semua suspek direman selama 12 hari bermula 13 Jun lalu hingga 24 Jun depan bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” jelasnya lanjut. – KOSMO! ONLINE