LANGKAWI – Cubaan dua tekong untuk menyeludup dadah menggunakan bot fiber di perairan ini gagal apabila dikesan Maritim Malaysia (APMM) pada kelmarin.
Dua bot tersebut ditahan dalam operasi bersepadu di kedudukan 0.03 batu nautika Timur Taman Nilam, di sini kira-kira pukul 3 petang.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, dua bot fiber berkenaan dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan bot ronda APMM.
Katanya, ia dilakukan menerusi rondaan rutin di bawah Op Aman, Op Tiris 3.0, Op Mardof Utara 1/2025 dan Op Bersepadu bersama Jabatan Laut (JLM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Pasukan Polis Marin (PPM).
“Tekong salah sebuah bot bertindak melarikan diri dengan memecut ke kawasan cetek sebelum terjun ke dalam sungai untuk meloloskan diri.
“Seorang lagi suspek turut meloloskan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot menemukan 21 peket kecil straw, lima peket lut sinar disyaki mengandungi syabu, satu peket disyaki morfin serta beberapa peralatan membungkus dadah.
“Kedua-dua bot serta barang kes telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM41,000,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE