SHAH ALAM – Isu berkaitan perpaduan di seluruh negara ini kini dapat ditangani dengan lebih efektif menerusi platform Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN).
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ia mampu menangani laporan orang ramai selain mendekatkan rakyat kepada kerajaan dalam usaha menjaga keharmonian nasional.
Katanya, ini seterusnya
membudayakan tanggungjawab sosial dalam kalangan rakyat terhadap isu-isu sensitif.
“Platform itu dibangunkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bagi memudahkan orang awam menyalurkan aduan berkaitan isu-isu perpaduan, memperkukuh pengurusan maklumat serta meningkatkan kecekapan sistem pemantauan keselamatan dan keharmonian di peringkat akar umbi.
“Ini akan memperkasa komuniti untuk menjadi mata dan telinga kepada usaha-usaha menjaga keharmonian nasional,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Townhall Keselamatan dan Perpaduan Negara 2025 dan pelancaran RAKAN, hari ini.
Beliau menjelaskan, maklumat aduan dan datanya akan dipaparkan secara langsung dalam laman web RAKAN.
Ujarnya, ini membolehkan orang awam bagi melihat isu dan penyelesaian isu-isu perpaduan termasuk berkaitan bangsa, agama dan institusi diraja (3R).
“Usaha itu diyakini mampu menangani isu-isu sensitif apabila maklumat aduan akan dikongsikan dengan dua agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan penguatkuasaan,” tegasnya.
Dalam pada itu, kata Aaron kementeriannya menyasarkan peningkatan skor Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) kepada 0.70 pada tahun ini berbanding 0.629 pada 2022 yang masih berada dalam julat tahap perpaduan baik dan terkawal.
“Ini bukan soal statistik tetapi memperkukuh asas sosial negara kta dari tahap persepsi hinggalah ke tindakan.
“Justeru, pelbagai usaha seperti dialog komuniti, program integrasi pelbagai kaum dan pemerkasaan peranan akar umbi terus dipergiatkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE