PETALING JAYA – Sabah bukan sahaja terkenal kerana destinasi pelancongannya yang cukup unik sehingga mampu menarik pelancong asing di peringkat global tetapi juga tersimpan rahsia keunikannya dengan tawaran menu masakan yang menyelerakan.
Melalui menu lazat itu juga, dapat memberi peluang kepada pelancong menyelami budaya ke sesebuah pelosok daerah kerana terselit sejarah, cerita dan cara pembuatannya secara tradisional yang sangat mengagumkan.
Bagi pelancong yang berkunjung ke negeri di bawah bayu itu, pastinya tidak akan ketinggalan daripada menikmati kesedapan makanan lautnya yang segar, lazat dan murah.
Pastinya layanan daripada pengusaha makanan di negeri berkenaan menghidangkan menu yang menyelerakan itu bakal mencoretkan satu pengalaman percutian yang menerujakan.
Sehubungan itu, pihak Tourism Sabah sedang mempromosikan beberapa menu lazat untuk menjadikan ia sebagai satu tarikan pelancong ke negeri berkenaan.
Antara menu yang popular adalah Mi Ngiu Chap (Mi sup daging) yang menggabungkan bebola daging, hirisan pelbagai bahagian lembu termasuk organ dalaman di dalam kuah berempah yang dimasak perlahan selama beberapa jam.
“Hasilnya, daging yang empuk dan beraroma itu dinikmati bersama cili padi kegemaran orang Sabah,” jelas kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Selain itu, bagi penduduk tempatan Sabah, menikmati semangkuk mi ikan segar yang panas adalah satu pengalaman yang menyenangkan, sama ada mereka memilih versi kon lau (mi kering disalut kicap) atau dihidangkan dengan sup yang menyelerakan.
Kelebihan negeri yang berada dalam kedudukan strategik yang dikelilingi kawasan laut memastikan ikan yang digunakan sangat segar, sedap dan lembut membuatkan menu ini begitu segar untuk dinikmatinya.
“Hanya hasil tangkapan terbaik digunakan dalam pembuatan sup ini dan terdapat juga pelbagai pilihan kuah sup yang lazat seperti ham choi (sawi masin), tomato, asam pedas dan tom yam laksa.
“Mi ikan boleh didapati di seluruh Sabah dan biasanya setiap premis yang menghidangkan mi berkenaan mempunyai barisan pengunjung yang panjang, tetapi sangat berbaloi untuk dicuba,” ujarnya.
Menu lain yang menjadi kegemaran ramai adalah kepak ayam panggang yang mana hasil perapannya dengan ramuan istimewa mengikut cita rasa Sabahan selain, disalut secara sekata dan dibakar hingga sempurna untuk mendapatkan rasa salai bakal memikat hati para peminatnya.
“Walaupun banyak penjaja menjualnya di sekitar bandar, tetapi hidangan ini begitu popular di pekan Kundasang,” jelasnya.
Bagi peminat jagung bakar, pelancong yang berada di kawasan utara Sabah seperti Kudat, Pitas dan Kota Marudu, boleh singgah di gerai tepi jalan Kampung Mengaris yang terletak sepanjang laluan Kota Belud, Kudat.
Lokasi ini cukup terkenal sebagai tempat persinggahan untuk membeli hasil tani dan kraftangan tempatan.
“Peniaga biasanya akan menggantung jagung segar yang mana ia terdiri daripada jagung manis dan jagung pulut serta jagung bakar di gerai mereka.
“Jagung ini dibakar di atas kayu api sehingga bahagian luarnya terbakar kehitaman tetapi rasanya manis dengan aroma yang memikat, enak dimakan ketika masih panas,” terangnya.
Selain itu, Sabah juga terkenal dengan lokan bakar dan puding kelapa yang mana ia terkenal di Jalan Sulaman, Kota Kinabalu atau di Salut, Tuaran.
“Lokan yang dituai dari kawasan paya bakau berhampiran, akan dibakar di atas arang sehingga cangkerangnya terbuka sendiri, menampakkan isinya yang lembut. Ia biasanya dihidangkan bersama perahan limau dan pencicah cili yang menyedapkan lagi rasa makanan laut ini.
“Untuk sesuatu yang menyegarkan, puding kelapa sejuk yang diperbuat daripada susu dan air kelapa segar menjadi pilihan ramai. Puding ini boleh dihidangkan dalam tempurung kelapa atau dalam cawan,” katanya.
Hidangan lain adalah nasi kuning yang mana ia cukup terkenal dalam komuniti Sabah di bahagian Pantai Timur kerana ia biasa dimakan semasa sarapan atau makan tengah hari.
“Seperti nasi lemak, nasi kuning dibungkus dengan daun pisang dan berbau menyelerakan dengan campuran kunyit.
“Hidangan ini biasanya dihidangkan bersama ayam goreng atau ikan tongkol, telur rebus dan sambal pedas. Ia juga bukan sahaja murah tetapi turut mengenyangkan,” terangnya.-KOSMO! ONLINE