IPOH – Seorang warga emas berusia 71 tahun dikenakan tindakan undang-undang oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), hari ini ekoran menyimpan 15 tan barangan kitar semula di pekarangan rumahnya di Jalan Merpati, Taman Ipoh di sini.
MBI dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah menjalankan Operasi Bersepadu Penghapusan Kacau Ganggu dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di kediaman warga emas itu sebanyak lima kali.
“Sejak 2020, pihak Majlis telah menjalankan lima kali operasi penghapusan kacau ganggu dan dua tindakan mahkamah terhadap pemilik premis iaitu seorang warga emas berumur 71 tahun.
“Bagaimanapun, dia masih meneruskan aktiviti pengumpulan barangan kitar semula yang disimpan di halaman rumah sehingga menimbulkan kacau ganggu kepada komuniti setempat,” katanya di sini hari ini.
MBI berkata, bagi operasi kali ini, penglibatan JKM merupakan inisiatif tambahan bagi mencari penyelesaian yang lebih berkesan dan berperikemanusiaan, khususnya bagi membantu warga emas tersebut agar tidak terus mencemarkan imej kawasan persekitaran dan bandar raya secara keseluruhan.
Katanya, operasi bermula pada pukul 9 pagi dengan kekuatan 26 anggota MBI dan sembilan anggota serta sukarelawan JKM dan telah dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang insiden.
Katanya, pemilik kediaman itu turut memberikan kerjasama penuh kepada pasukan operasi.
“Sebanyak tiga buah lori berkapasiti lima tan telah digunakan bagi melupuskan sisa ke tapak pelupusan, manakala barangan yang masih boleh dikitar semula telah dikumpul dan dijual dengan bantuan sukarelawan JKM.
“Hasil jualan tersebut telah diserahkan kepada warga emas terbabit sebagai salah satu bentuk sokongan kebajikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE