PETALING JAYA – Gangguan perkhidmatan aplikasi MAE malam ini bukan sahaja menjejaskan transaksi digital, malah mencetuskan kekecohan kecil dalam kalangan pelanggan yang ‘tersangkut’ di kedai makan dan mamak.
Tinjauan di platform X mendapati ramai pengguna meluahkan rasa panik dan malu apabila tidak dapat membuat bayaran makanan gara-gara gangguan aplikasi perbankan itu.
“Seseorang tolong saya, sebab Maybank buat hal aku dah tersekat dekat mamak ni.
“Jangan sampai aku sarung apron basuh pinggan dekat sini pulak,” ciap pengguna bernama Apep.
“Ya Allah malunya… tak memasal kena berhutang dengan makcik nasi lemak sebab Maybank tengah down (tergendala). Tak ada cash (tunai) ni,” luah seorang lagi pengguna, Melina Noh.
“Maybank please (tolong)… aku berdiri lama ni nak bayar nasi lemak.” kata Achu.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, beberapa perkhidmatan terpilih dalam aplikasi MAE sedang mengalami gangguan buat sementara waktu.
Maybank dalam hantaran di aplikasi X bagaimanapun, fungsi utama aplikasi tersebut masih boleh digunakan seperti biasa untuk keperluan perbankan harian. – KOSMO! ONLINE