JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia menerima kecaman ramai kerana memaksa abangnya menjual rumah mereka agar dia dapat bercuti ke Bali bagi meraikan tamat pengajian bersama rakan-rakannya, lapor portal berita Lambe Turah semalam.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @yofficiallambeturah menunjukkan wanita itu menengking sambil menyatakan bahawa dia berasa malu jika tidak mengikut rakan-rakannya.
Abangnya kemudian menegaskan bahawa mereka telah menggadai rumah itu untuk menanggung kos pengajiannya.
Malah, ibu kepada gadis terbabit sanggup bekerja sebagai tukang cuci untuk menyara pendidikan anak perempuannya.
“Saya berasa malu jika saya tidak pergi ke Bali bersama rakan-rakan saya. Apa-apa pun, saya tetap mahu pergi!” kata wanita itu dalam video.
Masih belum jelas lokasi kejadian dirakam.
Rakaman itu mencatatkan lebih 1 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Ramai lagi orang yang belajar sambil bekerja. Dia pula susahkan keluarga demi maruah,” kata seorang pengguna media sosial. – AGENSI