MANCHESTER – Manchester United berminat untuk menandatangi pemain tengah Nice, Hicham Boudaoui, namun tidak akan dapat melengkapkan perpindahan tersebut sehingga hari terakhir jendela perpindahan musim panas, 1 September ini.
Pemain antarabangsa Algeria berusia 25 tahun itu telah menarik perhatian barisan pencari bakat United selepas beraksi cemerlang ketika menentang Sweden dalam aksi persahabatan di Stockholm baru-baru ini, walaupun Algeria tewas 3-4.
Pemain tengah bertahan itu telah beraksi bersama Nice sejak 2019 dan memiliki nilai pasaran sekitar £20 juta (RM120 juta) dengan hanya dua tahun berbaki dalam kontraknya.
Minat terhadap Boudaoui datang ketika pengurus Manchester United, Ruben Amorim dan syarikat INEOS, sedang merombak skuad susulan musim paling buruk The Red Devils dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.
Amorim berdepan cabaran besar untuk memperkukuhkan semua posisi dalam pasukan, termasuk menggantikan Casemiro yang dijangka dijual serta memberikan cabaran buat Manuel Ugarte sejak tiba di Old Trafford.
Bagaimanapun, perpindahan Boudaoui tidak dapat dimuktamadkan lebih awal kerana Manchester United dan Nice kedua-duanya dimiliki oleh pemilik saham INEOS, Sir Jim Ratcliffe dan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) telah mengarahkan tiada perpindahan dibenarkan antara kedua-dua kelab sehingga September ini.
Peraturan itu ditetapkan bagi meredakan kebimbangan UEFA terhadap pemilikan lebih dari satu kelab, khususnya ketika United dan Nice sama-sama beraksi dalam kempen Liga Europa musim lalu.
Walaupun Boudaoui dianggap lebih murah berbanding sasaran lain, Amorim tetap perlu menjual beberapa pemain terlebih dahulu termasuk Marcus Rashford, Antony, Jadon Sancho dan Alejandro Garnacho untuk meningkatkan dana. – AGENSI