PETALING JAYA – Perlawanan tinju antara dua pempengaruh media sosial, DMA Islam dan Abang Koroy yang berlangsung di The Cage di ibu kota malam tadi menyaksikan kekalahan pempengaruh kontroversi itu selepas pertarungan sengit selama lima pusingan.
Perlawanan yang disiarkan secara langsung menerusi aplikasi TikTok itu menarik ribuan tontonan dalam talian, selain dihadiri ratusan penyokong yang membanjiri lokasi perlawanan untuk menyaksikan pertarungan luar biasa antara dua figura itu.
Difahamkan aksi tinju berkenaan menawarkan hadiah utama sebanyak RM10,000 yang secara langsung dimenangi oleh Abang Koroy.
Sebelum ini, perlawanan tersebut pada asalnya dijadualkan berlangsung sempena Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2025 di Dataran Merdeka, namun diumumkan batal secara tiba-tiba oleh pihak Twins Championship.
Namun begitu, kedua-dua pempengaruh meneruskan perlawanan mereka di lokasi berbeza malam tadi, sekali gus menjawab keterujaan peminat yang ingin melihat mereka berlawan secara sah di gelanggang.
DMA Islam atau nama sebenar Danial Mirza, sebelum ini sempat meluahkan rasa kecewa terhadap pembatalan itu, memaklumkan dia dan pihak lawan telah melakukan persiapan rapi serta latihan intensif bagi mengadapi perlawanan tersebut.
Terdahulu, perlawanan tinju yang dinanti-nantikan antara dua pempengaruh popular tanah air, DMA Islam dan Abang Koroy dibatalkan pada saat akhir, sekali gus mencetuskan reaksi bercampur baur dalam kalangan peminat media sosial serta pengunjung Sambutan Hari Belia Negara 2025 di Dataran Merdeka, Ahad lalu.
Difahamkan, Kementerian Belia dan Sukan turut terkejut dengan penganjuran acara tinju itu yang tidak dimaklumkan secara rasmi kepada mereka lebih awal. – KOSMO! ONLINE