KUALA LUMPUR – Pustakawan perlu menjadi pembimbing yang berkesan dalam memperkenalkan kandungan menarik kepada pembaca serta memanfaatkan teknologi dan peralatan digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui penggunaan teknologi dan peralatan digital masa kini, pustakawan dapat menjangkau khalayak yang lebih luas.
“Perpustakaan tidak hanya menjadi tempat simpanan buku atau ruang berestetika, malah perlu berfungsi sebagai pusat ilmu, budaya dan wacana intelektual yang aktif,” katanya pada Persidangan dan Mesyuarat Agung Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (Consal XIX) di ibu negara hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menggesa pustakawan di seluruh rantau ini supaya melangkaui peranan tradisional mereka.
Menurut beliau, pustakawan perlu menyahut cabaran untuk memupuk budaya membaca yang dinamik khususnya dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata, peranan pustakawan bukan sekadar mengumpul buku dan mempamerkannya dalam almari kaca.
“Sebaliknya menjadikan perpustakaan sebagai sumber penting dalam meningkatkan kesedaran dan memberi inspirasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE