PENGHANTARAN makanan di Hong Kong kini memasuki fasa baharu apabila Keeta Drone iaitu anak syarikat kepada satu organisasi gergasi penghantaran makanan dari China mula menggunakan dron untuk menghantar pesanan pelanggan.
Langkah efektif itu berjaya mengurangkan tempoh penghantaran kira-kira 35 minit, sekali gus menjadikannya satu lonjakan besar dalam kecekapan logistik kawasan bandar.
Sebagai langkah awal, perkhidmatan itu memulakan penghantaran makanan dari dua restoran makanan segera, McDonald’s dan Pizza Hut yang terletak di Science Park ke kawasan pendaratan di Ma On Shan Promenade.
Teknologi itu secara tidak langsung membuatkan waktu penghantaran ke lokasi berkenaan hanya memakan masa lima minit berbanding 40 minit menggunakan basikal.
Menurut Presiden Keeta Drone, Mao Yinian, lokasi tersebut merupakan kawasan berisiko rendah, apabila bahagian Teluk Tolo memisahkan dua bahagian berkenaan.
Ini membolehkan operasi dron dijalankan dengan lebih selamat. Sekiranya berlaku sebarang masalah teknikal, dron boleh membuat pendaratan kecemasan di kawasan perairan.
“Lokasi seperti ini selamat dan tidak mempunyai banyak halangan (bangunan) kerana berada di tempat terbuka.
“Kami gembira apabila perkhidmatan ini berjaya dibuktikan sebagai alternatif penghantaran dengan pantas.
“Usaha ini juga sebahagian daripada inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan Hong Kong menerusi Low-altitude Economy Regulatory Sandbox (LERS).
“Kami berharap dapat menyelaraskan operasi mengikut kelajuan dasar dan memperluaskan operasi ke kawasan lain secara berperingkat tidak mengira sama ada berisiko rendah atau tinggi,” katanya memetik laporan media, South China Morning Post.
Seiring dengan pembangunan era digital, kerajaan Hong Kong kini giat membangunkannya menerusi dasar, infrastruktur dan perundangan baharu dengan 38 projek dipilih dalam fasa pertama LERS.
Perkhidmatan berkenaan mengenakan caj penghantaran sebanyak HK$30 (RM18) dan hanya tersedia untuk pesanan makanan terpilih dari dua restoran tersebut.
Menu yang tersedia adalah burger, piza, ayam panggang, nasi dan spageti. Pelanggan perlu memilih lokasi Ma On Shan Park dalam aplikasi dan membuat pilihan penghantaran dron di bawah mod ambil sendiri (self-pickup).

Pesanan akan diletakkan pada dron oleh kakitangan restoran, sebelum diterbangkan ke zon pendaratan khas di taman tersebut.
Jarak perjalanan darat antara restoran (Science Park) dan lokasi pendaratan adalah kira-kira 7.8 kilometer (km).
Penerbangan dron berkenaan berjaya memendekkan jarak perjalanan kepada cuma 1.8km.
Kelebihan itu membuktikan penggunaan dron jauh lebih efisien dan mampu menjimatkan masa serta tenaga manusia.
Yinian turut merancang untuk membina lebih banyak kios automatik dikenali sebagai M-port di kawasan kediaman Ma On Shan bagi memudahkan pengguna mengambil pesanan mereka.
“M-port ini direka untuk membolehkan dron mendarat terus ke atas struktur tersebut.
“Ia lebih cekap berbanding model semasa yang masih memerlukan zon pendaratan khusus.
“Keeta Drone bukan sahaja menyasarkan penghantaran makanan, malah sedang meneliti kemungkinan penghantaran bekalan perubatan atau sampel ujian diagnostik ke kawasan terpencil.
“Inisiatif ini berpotensi memberi impak besar kepada sektor kesihatan dan kecemasan di Hong Kong,” katanya.
Perkembangan teknologi moden itu turut mendapat sokongan daripada pakar teknologi penerbangan, Kelvin Lim.
Dia menyifatkan penghantaran makanan atau barang kecil menggunakan dron ke lokasi terpencil bukan satu hal mustahil.
Katanya, revolusi itu menjadi penyelesaian kepada cabaran logistik kawasan bandar, malah berpotensi mencetuskan perubahan terhadap industri penghantaran pada masa akan datang.
“Dengan keupayaan mengelak kesesakan lalu lintas, dron boleh menghantar barang dalam masa lebih singkat tanpa perlu melalui jalan darat yang berkemungkinan berlaku kemalangan.
“Ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan, malah mengurangkan pelepasan karbon dan memelihara alam sekitar agar lebih baik.
“Kita bukan lagi berada dalam lingkungan angan-angan futuristik, tetapi satu realiti yang sedang dilaksanakan.
“Diharapkan teknologi ini bukan sahaja dapat menjimatkan masa perjalanan.
“Sebaliknya, ia diharap mampu membuat penghantaran terus atau mengenal pasti lokasi rumah sama ada jenis pangsapuri atau bangunan tinggi lain,” katanya.














